PANDEMIK Covid-19 ternyata memberi impak yang cukup besar bukan sahaja kepada masyarakat di Malaysia, malah ekonomi negara turut terjejas.

Sebahagian aktiviti ekonomi tergendala atau terhenti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula pada 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Sehubungan itu, kerajaan memperkenalkan inisiatif MalaysiaMudah (MyMudah) menerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) untuk membantu pemilik syarikat dan perniagaan yang dibebani pelbagai peraturan tidak perlu dan kerenah birokrasi.

MPC secara proaktif memudahkan dan memulakan perbincangan awal di antara pemilik perniagaan yang terkesan semasa pandemik dan pihak penguatkuasaan peraturan berkaitan untuk meneliti dan memberikan cadangan penyelesaian bagi mengatasi masalah berkenaan.

Di bawah program MyMudah yang dilancarkan pada 20 Julai 2020, antara inisiatif yang diperkenalkan adalah memansuhkan peraturan yang tidak perlu untuk mengurangkan beban syarikat dan perniagaan.

Kurangkan peraturan tidak perlu

Kementerian dan kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal berkaitan akan mengurangkan peraturan tidak perlu, yang mana ia secara tidak langsung akan meningkatkan kecekapan fungsi dan operasi syarikat dan perniagaan.

Antara sektor ekonomi yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 adalah industri pembinaan.

Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Datuk Ar Ezumi Harzani Ismail berkata, ketika PKP dilaksanakan, kesan yang agak ketara adalah proses kelulusan permohonan kelulusan pembangunan dan aktiviti pembinaan di tapak bina, khususnya di peringkat akhir atau hampir siap.

Beliau memberitahu, terdapat bangunan-bangunan yang sudah boleh melalui proses pemeriksaan oleh pihak berkuasa, agensi teknikal sebelum Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dapat dikeluarkan oleh Arkitek, tetapi disebabkan Covid-19 ianya tidak dapat dilaksanakan.

CCC merupakan sijil penilaian oleh profesional industri untuk memastikan bahawa bangunan tersebut mengikut pelan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan, dibina dengan selamat dan sesuai untuk digunakan.

Namun disebabkan oleh PKP, katanya, tidak ada proses untuk membuat pemeriksaan di tapak dan tiada proses mengeluarkan surat pelepasan untuk CCC pada tempoh tersebut.

 

source: https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2020/10/15/bisnes-terjejas-akibat-covid-19-mymudah-bantu-longgarkan-peraturan-ketat-dan-kerenah-birokrasi